 |
|
Monday, June 04, 2007
Siri buku Harry Potter merupakan antara buku yang terlaris jualannya di dunia. Buku terakhir siri ini, Harry Potter and the Deathly Hallows bakal menemui peminat setianya mulai 21 Julai ini.
Khabarnya, khalayak pembaca di Malaysia bakal diperuntukkan sebanyak 200 ribu naskhah. Buku tersebut akan dijual pada harga RM109.90 (edisi kanak-kanak dan dewasa).
Mengikut laporan AFP, sebanyak 325 juta naskhah siri Harry Potter 1-6 sudah terjual di seluruh dunia dan ia diterjemahkan dalam 64 bahasa sejak ia mula diterbitkan pada tahun 1997. Di samping itu sebuah taman tema yang dilhamkan daripada buku dan filem Harry Potter ini bakal dibangunkan di Florida, Amerika Syarikat dengan peruntukan sebanyak AS$1 bilion. Taman tema ini kenali sebagai The Wizarding World of Harry Potter. Bagi para pencinta buku, khususnya ahli-ahli bukuonline.org, sekiranya anda berminat untuk mendapatkan buku ini (sama ada edisi kanak-kanak, edisi dewasa atau edisi khas) anda bolehlah berhubung dengan University Book Store (Malaysia) Sdn. Bhd. dan anda akan diberi potongan harga sebanyak 25%. Anda juga diberikan keahlian percuma untuk My Book Club yang bernilai RM20.00. Jadi jangan lepaskan peluang terbaik ini.
Yang menariknya, edisi terakhir Harry Potter ini dicetak juga dalam edisi khas pada harga RM235.00. Edisi khas ini mengandungi ciri-ciri berikut:· Berjilid Clothbound , Embossed with Foil, Gold page edging, Ribbon marker, serta ditandatangani oleh pengarangnya sendiri JK Rowling di bahagian depannya. Edisi khas ini sangat terhad, sekiranya anda berminat mendapatkannya anda perlu membuat tempahan awal. Sila hubungi terus UBSM di e-mel ini dan nyatakan anda adalah ahli bukuonline.org.
Posted at 6/4/2007 8:20:58 am by masali
Permalink
Tuesday, May 29, 2007
Pelancaran siri buku Berpetualang ke Aceh karya Radzi Sapiee akan diadakan di toko buku Khazanah Fathaniyah kepunyaan almarhum Ustaz Wan Saghir, di Chow Kit pada Sabtu 9 Jun 2007, jam 2.30 petang. Maklumat ini kami kutip dari blog beliau di http://merahsilu.blogspot.com yang banyak mempromosi dan mengisahkan jerit perih beliau menghasilkan siri buku Berpetualang Ke Aceh: Mencari Diri dan Erti (BKA1) serta Berpetualang Ke Acheh: Mencari Syiar Yang Asal (BKA2).
Terlebih dahulu kami secara peribadi mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kerana kegigihan beliau menjayakan penerbitan ini. Meskipun kami belum berkesempatan untuk memiliki buku-buku (novel) ini, tetapi kami yakin kandungannya amat menarik kerana kajian dan penulisan cerekanya dilakukan secara komprehensif dan menjangkau latar waktu yang sungguh lama, yaitu pada sekitar 1, 200 tahun lampau di Acheh. Dalam satu makalah di Utusan Malaysia baru-baru ini, beliau menyatakan Berpetualang Ke Acheh adalah sebuah novel unik yang mengisahkan pengembaraan (selama dua tahun) mengenali asal usul diri, dengan menyusuri 1, 200 tahun kaitan bumi Serambi Mekah (Aceh) dengan Nusantara dunia Islam. Malah jika diteliti dan dibaca keseluruhan isi kandungan novel ini, ia juga memberitahu makna Melayu dan perjuangan akhir zaman.' Sdr. Radzi Sapiee adalah penulis bebas dan bekas wartawan di NST, Kuala Lumpur. Beliau merupakan graduan matematik tulen dari University College of London, UK. Buku Berpetualang Ke Acheh: Mencari Syiar Yang Asal (ISBN: 983-42031-1-X, 2007, Penerbit Wasilah Merah Silu Enterprise) dijual dengan harga RM24.90. Untuk mendapatkan buku tersebut, silalah lawati blog beliau di atas. Sempena pelancaran buku ini, beliau juga menjemput semua pencinta buku hadir bersama memeriahkan suasana.
Posted at 5/29/2007 10:30:15 am by masali
Permalink
|
|
|
 |
|
 |